Pelajar dari semua peringkat umur boleh menggunakan Edpuzzle. Walau bagaimanapun, dalam sesetengah kes, bergantung pada undang-undang negeri atau wilayah anda, anda mungkin perlu mendapatkan kebenaran daripada ibu bapa terlebih dahulu. Cari semua maklumat yang anda perlu ketahui dalam artikel berikut*.
Apakah itu kebenaran ibu bapa?
Undang-undang dan/atau peraturan privasi selalunya memerlukan ibu bapa (atau penjaga yang sah) bersetuju atau dimaklumkan sebelum maklumat pengenalan peribadi (PII) anak mereka didedahkan kepada pihak ketiga.
Dalam bidang edtech, ini bermakna guru dan sekolah mesti mempunyai kebenaran ibu bapa yang telah disahkan sebelum pelajar memberikan sebarang maklumat peribadi kepada pihak ketiga, seperti Edpuzzle.
Kenyataan bahawa guru tidak boleh menjemput pelajar ke bilik darjah Edpuzzle mereka tanpa persetujuan yang nyata kepada Syarat Perkhidmatan dan Dasar Privasi Edpuzzle dan mengesahkan alamat e-mel mereka selepas itu, digabungkan juga dengan kemustahilan untuk mencipta akaun pelajar tanpa kod kelas atau pautan yang unik, dapat memastikan Edpuzzle tidak mengumpul apa-apa data yang tidak sepatutnya dikumpul.
Bilakah perlu untuk mendapatkan kebenaran ibu bapa?
Sebagai peraturan umum, kebenaran ibu bapa mungkin dikenakan pada julat umur yang berbeza bergantung pada undang-undang negeri atau wilayah.
Di Amerika Syarikat, privasi pelajar dikawal terutamanya oleh dua undang-undang persekutuan: Akta Hak dan Privasi Pendidikan Persekutuan (FERPA) dan Akta Perlindungan Privasi Dalam Talian Kanak-kanak (COPPA).
- FERPA secara amnya melarang sekolah daripada mendedahkan maklumat peribadi pelajar yang boleh dikenal pasti daripada rekod pendidikan pelajar kepada pihak ketiga tanpa kebenaran bertulis daripada ibu bapa (ataupun daripada pelajar, jika mereka berumur lebih dari 18 tahun). Walau bagaimanapun, pada masa yang sama, FERPA membenarkan pengecualian di mana maklumat peribadi pelajar boleh dikongsi tanpa kebenaran. Salah satu pengecualian ini ialah "pengecualian rasmi sekolah", di mana sekolah boleh berkongsi maklumat pelajar tersebut dengan pegawai sekolah yang dilantik dan mempunyai kepentingan pendidikan yang sah. Pihak ketiga boleh dianggap sebagai pegawai sekolah jika mereka menjalankan perkhidmatan yang sama seperti pihak sekolah menggunakan pekerjanya. Sekolah akan menentukan siapakah pegawai sekolah yang mempunyai kepentingan pendidikan yang sah dalam pemberitahuan hak tahunan mereka di bawah FERPA.
- COPPA melindungi kanak-kanak di bawah umur 13 tahun yang menggunakan laman web komersial, permainan dalam talian dan aplikasi mudah alih. Walaupun sekolah mempunyai kewajipan untuk memastikan perkhidmatan yang digunakan oleh pelajar mereka mengendalikan data yang dikumpulkan dengan bertanggungjawab, tetapi COPPA meletakkan tanggungjawab sepenuhnya ke atas pengendali perkhidmatan dalam talian. Pada masa yang sama, COPPA secara amnya tidak terpakai apabila sekolah telah mengupah pengendali laman web untuk mengumpul maklumat daripada pelajar bagi tujuan pendidikan untuk digunakan pihak sekolah. Dalam keadaan tersebut, sekolah (bukan guru individu) boleh memberikan kebenaran bagi pihak pelajar apabila diperlukan, asalkan data tersebut digunakan hanya untuk tujuan pendidikan.
Di Kesatuan Eropah dan United Kingdom, Peraturan Perlindungan Data Umum (GDPR) menyatakan bahawa pemprosesan Maklumat Peribadi Pelajar yang Boleh Dikenalpasti kanak-kanak hanya sah apabila kanak-kanak itu berumur sekurang-kurangnya 16 tahun, walaupun ia membenarkan Negara Anggota dan Penandatangan menurunkan umur dengan syarat umurnya tidak di bawah 13 tahun. Buat masa ini, had umur adalah seperti berikut:
- Croatia, Jerman, Hungary, Ireland, Itali, Lithuania, Luxembourg, Malta, Belanda, Romania dan Slovakia: bawah umur 16 tahun.
- Perancis, Republik Czech, Greece dan Slovenia: bawah umur 15 tahun.
- Austria, Bulgaria, Cyprus dan Sepanyol: bawah umur 14 tahun.
- Belgium, Denmark, Estonia, Finland, Latvia, Poland, Portugal, Sweden dan UK: bawah umur 13 tahun.
Menurut GDPR, sekolah dianggap sebagai pengawal data dan bertanggungjawab untuk memastikan data pelajar diproses dengan sewajarnya. Dalam erti kata lain, sekolah dari EU/EEA mesti mendapatkan kebenaran daripada ibu bapa kepada kanak-kanak di bawah had umur yang ditentukan oleh setiap undang-undang Negara Anggota sebelum mendedahkan maklumat peribadi kepada mana-mana penyedia perkhidmatan pihak ketiga.
Di Kanada, menurut Akta Perlindungan Maklumat Peribadi dan Dokumen Elektronik (PIPEDA), kebenaran hanya sah jika adalah munasabah bagi pelajar memahami sebab, tujuan dan akibat pengumpulan, penggunaan, atau pendedahan maklumat peribadi yang telah mereka setujui. Pejabat Pesuruhjaya Privasi Kanada (OPC) telah mengambil pendirian bahawa, dalam semua keadaan kecuali yang luar biasa, ini bermaksud mana-mana kanak-kanak yang berumur 13 tahun ke atas. Dengan kata lain, pendedahan maklumat peribadi kanak-kanak di bawah umur 13 tahun mesti mendapat kebenaran oleh ibu bapa kanak-kanak atau penjaga yang sah.
Dari mana saya boleh dapatkannya?
Hubungi pentadbir IT anda – atau sesiapa sahaja di sekolah anda yang bertanggungjawab untuk perlindungan data – sepatutnya adalah langkah pertama. Jika anda bukan sebahagian daripada sekolah atau sekiranya sekolah anda tidak menguruskan kebenaran ibu bapa, anda perlu meminta kebenaran untuk SETIAP pelajar yang anda jemput ke Edpuzzle.
Dengan bersetuju menerima Syarat Perkhidmatan dan Dasar Privasi Edpuzzle semasa mendaftarkan akaun guru anda, anda mengakui bahawa anda memahami kewajipan anda atau kewajipan institusi pendidikan anda untuk mendapatkan kebenaran ibu bapa, jika sesuai.
Bagaimana jika saya tidak memerlukan kebenaran ibu bapa atau dikecualikan daripada mendapatkannya?
Jika anda tidak bercadang untuk menggunakan Edpuzzle dengan pelajar dalam lingkungan umur yang dinyatakan di atas, kebenaran ibu bapa tidak diperlukan dalam kes anda, atau terdapat sebarang pengecualian undang-undang berkenaan kebenaran ibu bapa, tindakan selanjutnya tidak diperlukan.
Templat slip kebenaran ibu bapa
Untuk sekolah di Amerika Syarikat atau Kesatuan Eropah/EEA, Edpuzzle menyediakan templat untuk membantu sekolah mendapatkan kebenaran ibu bapa, jika berkenaan (dilampirkan pada artikel ini: templat AS dan templat EU).
Namun begitu, terpulang kepada sekolah untuk menentukan cara terbaik menggunakan templat, melengkapkannya dengan maklumat hubungan mereka sendiri dan maklumat tentang perkhidmatan yang mereka gunakan, dan berkongsinya bersama Syarat Perkhidmatan dan Dasar Privasi Edpuzzle .
SEKOLAH DI NEGARA DAN KOMUNITI BERBEZA MEMPUNYAI PERATURAN DAN PENDEKATAN YANG BERBEZA, DAN EDPUZZLE TIDAK DAPAT MENASIHATKAN ANDA MENGENAI PEMATUHAN UNDANG-UNDANG YANG BERKENAAN UNTUK SEKOLAH ANDA. ANDA PERLU MENDAPATKAN SEBARANG PERSETUJUAN IBU BAPA YANG MUNGKIN DIPERLUKAN OLEH SEKOLAH ANDA DENGAN CARA YANG MEMATUHI UNDANG-UNDANG BIDANG KUASA ANDA.
Ada soalan tentang kebenaran ibu bapa? Jangan teragak-agak untuk menghubungi kami di support@edpuzzle.com.
* Maklumat yang diberikan di sini tidak, dan tidak bertujuan untuk, membentuk nasihat undang-undang. Sebaliknya, semua maklumat, kandungan dan bahan yang tersedia dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja, dan mungkin bukan maklumat undang-undang atau maklumat lain yang paling terkini. Pembaca artikel ini harus menghubungi peguam mereka untuk mendapatkan nasihat berkenaan dengan mana-mana perkara undang-undang tertentu.