Sebelum memuat naik sebarang kandungan ke Edpuzzle yang berkemungkinan dilindungi hak harta intelek, sila pastikan anda diberi kuasa untuk berbuat demikian. EDPUZZLE MEMPUNYAI DASAR TOLERANSI SIFAR BERKENAAN PELANGGARAN HAK CIPTA dan boleh menamatkan akses mana-mana pengguna kepada perkhidmatan tanpa notis disebabkan oleh pelanggaran tersebut seperti yang dijelaskan dalam Syarat Perkhidmatan kami .
Apa itu hak cipta?
Hak Cipta boleh ditakrifkan sebagai hak eksklusif seseorang untuk menghasilkan semula, menerbitkan atau menjual karya asal kepunyaannya, seperti karya sastera, muzik, dramatik, artistik, audiovisual atau seni bina. Adalah penting untuk memastikan karya tersebut merupakan karya kreatif dan boleh didapati dalam bentuk nyata (iaitu cerita yang ditulis di atas kertas atau lukisan asli di atas kanvas), sama ada diterbitkan atau tidak diterbitkan, kerana perlindungan tidak tertakhluk kepada konsep, fakta, idea atau proses.
Untuk melindungi masa, usaha dan kreativiti pencipta karya, undang-undang hak cipta memberikan pencipta hak eksklusif tertentu, seperti hak untuk menghasilkan semula dan mengedarkan karya, untuk mengeluarkan "karya terbitan" (iaitu karya lain diinspirasikan dari karya asal) dan untuk melaksanakan atau mempamerkan kerja secara terbuka, dsb. Pemilik hak cipta juga mempunyai hak untuk membenarkan (atau tidak) orang lain untuk menggunakan hak tersebut.
Had Perlindungan Hak Cipta: Penggunaan saksama
Penggunaan saksama ialah doktrin undang-undang yang membenarkan individu menggunakan sebahagian daripada bahan yang mempunyai hak cipta tanpa perlu mendapatkan kebenaran jelas daripada pemilik hak cipta asal. Setiap negara mempunyai undang-undangnya sendiri, dan kebolehgunaan penggunaan saksama mungkin berbeza.
Di Amerika Syarikat, sebagai contoh, karya yang digunakan untuk tujuan pengajaran mungkin dilindungi oleh penggunaan saksama. Mahkamah akan menentukan sama ada terdapat penggunaan saksama bergantung pada keadaan setiap kes. Oleh itu, ADALAH PENTING ANDA MENCARI NASIHAT UNDANG-UNDANG SEBELUM MUAT NAIK SEBARANG KANDUNGAN YANG BERPOTENSI DILINDUNGIHAK CIPTA KE INTERNET.
Di Amerika Syarikat, hakim akan mencari empat elemen berikut dalam menentukan sama ada penggunaan saksama terpakai:
- Tujuan atau sifat penggunaan. Mahkamah akan menentukan sama ada penggunaan tersebut transformatif atau tidak, mempersoalkan sama ada karya anda memberi makna baharu kepada yang asal atau ia hanya sekadar salinan. Hakim juga akan memeriksa sama ada kandungan yang anda buat adalah untuk tujuan komersial atau pendidikan, jika ia untuk tujuan yang kedua, ia lebih berkemungkinan dianggap sebagai penggunaan saksama berbanding dengan kandungan yang dibuat untuk tujuan komersial atau keuntungan.
- Sifat kandungan yang dilindungi hak cipta. Penggunaan kandungan berdasarkan fakta mempunyai peluang yang lebih besar untuk dilindungi oleh penggunaan saksama berbanding karya fiksyen semata-mata. Namun, "sifat hasil karya" adalah perkara paling kurang diambil perhatian dalam doktrin penggunaan saksama dan mahkamah biasanya hanya memberikan penekanan yang kecil padanya berbanding tiga faktor lain.
- Jumlah penggunaan kandungan hak cipta. Meminjam sebahagian kecil daripada karya asal lebih berkemungkinan dianggap sebagai penggunaan saksama daripada menggunakannya secara keseluruhan. Namun begitu, jika bahagian kerja yang lebih kecil yang digunakan dianggap sebagai "nadi" karya asal, penggunaan saksama kemungkinan besar tidak terpakai.
- Impak penggunaan terhadap potensi pasaran bagi karya yang mempunyai hak cipta. Jika kandungan anda akan memberi kesan negatif pada pendapatan atau tontonan untuk karya asal, kandungan tersebut berkemungkinan tidak akan dilindungi oleh penggunaan saksama. Selain itu, kandungan anda tidak boleh berada dalam pasaran yang sama yang disasarkan oleh pencipta asal.
Memuat naik Kandungan Dilindungi Hak Cipta ke Edpuzzle dan Amalan Terbaik untuk Mengelakkan Pelanggaran Penggunaan Saksama
Ramai pencipta percaya bahawa dengan hanya memasukkan frasa dalam kredit mereka seperti "tiada pelanggaran yang disengajakan" atau "kredit kepada pemilik asal", penggunaan saksama secara automatik akan terpakai. Ini adalah jauh dari realiti.
Sebelum memuat naik mana-mana kandungan yang mungkin dilindungi oleh hak cipta seperti yang diterangkan dalam bahagian sebelumnya (iaitu buku yang anda imbas) ke Edpuzzle, pastikan anda mempunyai hak untuk berbuat demikian, sama ada kerana penggunaan adil terpakai atau kerana anda mendapat kebenaran yang jelas daripada pengarang.
Bagaimanakah anda boleh memastikan bahawa kandungan yang anda muat naik ke Edpuzzle tidak melanggar hak cipta?
- Hasilkan kerja sendiri. Gunakan kreativiti anda untuk menghasilkan video asli yang baharu sama sekali dan bukannya hanya menyalin apa yang dihasilkan oleh orang lain.
- Elakkan daripada membuat apa-apa keuntungan daripada kandungan yang anda tidak miliki atau tidak mempunyai hak untuk berkongsi.
- Hadkan jumlah bahan yang mempunyai hak cipta untuk dimasukkan ke dalam kandungan anda. Sebaliknya, cuba rakam dan muat naik video anda sendiri atau gunakan video yang dikongsi oleh rakan sekerja dan rakan guru Edpuzzle anda.
- Berempatilah. Jika anda memilih untuk menggunakan kerja orang lain yang dilindungi, letakkan diri anda dalam situasi mereka dan empati. Jika anda menyedari bahawa karya anda sangat serupa dengan yang asal sehingga ia akan mencuri tontonan atau pendapatan daripada pemilik asal, anda harus mengelak daripada memuat naik kandungan anda.
Cara Melaporkan Pelanggaran Hak Cipta
Dasar kami mengikut Syarat Perkhidmatan kami adalah untuk menjawab apa sahaja pemberitahuan tentang dakwaan pelanggaran hak cipta menurut Akta Hak Cipta Milenium Digital dan Arahan (EU) 2019/790 mengenai Hak Cipta dan Hak Berkaitan dalam Pasaran Tunggal Digital. Jika karya anda yang dilindungi hak cipta telah disiarkan di Edpuzzle tanpa kebenaran, anda boleh menyerahkan pemberitahuan pelanggaran hak cipta. Cara terpantas dan paling mudah untuk menyerahkan notis alih keluar hak cipta adalah melalui borang yang dilampirkan pada artikel ini, yang perlu anda isi, tandatangani dan e-mel kepada kami di copyright@edpuzzle.com.
Sebagai pemilik hak harta intelek, pastikan anda mempertimbangkan sama ada penggunaan saksama, urus niaga saksama atau pengecualian yang serupa kepada hak cipta terpakai sebelum anda menyerahkan. Permintaan ini hanya boleh dihantar oleh pemilik hak cipta atau ejen yang diberi kuasa untuk bertindak bagi pihak pemilik.
Hak Cipta & YouTube
Edpuzzle menstrim video daripada YouTube menggunakan API benam mereka, ini bermaksud bahawa kami (termasuk anda) mematuhi syarat perkhidmatan YouTube. Jika video dialih keluar daripada YouTube kerana pelanggaran hak cipta, ia juga akan dialih keluar secara automatik daripada Edpuzzle.
Jika kami menerima notis alih keluar hak cipta daripada pencipta karya asal dan kami menyedari bahawa video itu telah dimasukkan ke Edpuzzle menggunakan API benam YouTube, kami bukan sahaja akan mengalih keluar kandungan daripada platform kami, tetapi juga menasihati pencipta untuk menyerahkan notis alih keluar hak cipta kepada Youtube. Jika sebagai pemilik hak cipta, anda mendapati diri anda berada dalam situasi ini, sila ikut arahan berikut yang disediakan oleh YouTube .
Soalan? Anda boleh dapatkan maklumat hubungan untuk ejen hak cipta kami di sini atau e-mel pasukan sokongan kami di support@edpuzzle.com.